Friday, August 7, 2009

Selesema babi dianggap remeh

KEGUSARAN semakin bertambah berikutan meningkatnya statistik kematian dan penularan wabak H1N1. Jangkitan tidak lagi gejala import tetapi lebih bersifat domestik.

Bagaimanapun selain pengumuman, iklan televisyen dan radio, penutupan sekolah serta institusi pengajian tinggi nampaknya tidak ada sebarang langkah awal dilakukan bagi mengekang gejala ini daripada terus menular.

Selain Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan beberapa tindakan kuarantin dan menghantar pulang pelajar serta pelatih ke kampung masing-masing, jentera negara dilihat seperti tidak prihatin dengan wabak ini.

Tidakkah Majlis Keselamatan Negara melihat ini sebagai satu ancaman bencana besar? Ataupun, perlukah menunggu petunjuk lain baru melaksanakan satu tindakan menyeluruh secara tergesa-gesa dan tidak terancang?

Rakyat biasa mungkin tidak memahami bahaya sebenar wabak yang selalu diberikan tafsiran remeh termasuk oleh pihak berwajib. Malah, wujud kenyataan mengejutkan yang menyamakan H1N1 ini dengan selesema biasa.

Kenyataan tidak bertanggung jawab ini memberi impak besar kepada rakyat yang mengambil tindakan meremehkan bahaya yang bakal di hadapi. Bolehkah kita salahkan mereka jika mengambil sikap demikian kerana tanggapan salah hasil pemahaman yang silap itu?

H1N1 adalah sejenis jangkitan wabak baru yang belum ada rekod boleh dijadikan sebagai perbandingan. Kita tidak tahu apa yang berupaya dilakukan penyakit ini. Malahan sehingga kini tidak ada rawatan khusus selain antiviral.


Sepatutnya, lama sebelum ini semboyan sudah dibunyikan oleh Pusat Kawalan Krisis Negara dan mereka sudah bersedia dengan pelbagai rancangan bagi menghadapi situasi ini. Apakah budaya 'sudah terhantuk baru terngadah' masih menjadi pegangan?

Sepatutnya kita sudah ada garis pengukur jumlah jangkitan sebagai petunjuk kepada tahap seriusnya penyakit ini sebagai langkah berjaga-jaga. Jika statistik yang diberikan setiap hari tidak dilihat sebagai kayu pengukur apakah lagi indikator yang akan digunakan?

Rakyat perlukan satu agenda kukuh yang terancang dan boleh dilaksana serta diikuti secara serentak di peringkat nasional. Kita tentu tidak boleh menangani krisis ini secara terasing dan ikut-ikutan semata-mata. Kena perlu ada satu langkah secara besar-besaran dilaksanakan serentak. Masalah ini bukan lagi masalah terpencil, ia pula bukan masalah orang kaya atau terpelajar yang sering ke luar negara. Tetapi kini ia melanda sehingga ke kampung dan menyerang mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke luar negara.

Jentera Kawalan Krisis Negara perlu digerakkan segera. Jangan tunggu 'nasi sudah menjadi bubur' baru memulakan langkah.